Panduan pengasas · Pembinaan

Apa itu MVP, dan bagaimana cara membinanya?

Oleh Jayden Sue Jun Hong · Dikemas kini 2026-11-15· Read this guide in English

Jawapan ringkas

MVP (minimum viable product, atau produk minimum yang berdaya maju) ialah versi terkecil produk anda yang boleh digunakan oleh pengguna sebenar, dan yang menguji andaian paling berisiko dalam perniagaan anda. Ia bukan salinan murah produk penuh. Ia melakukan satu tugas teras dengan cukup baik sehingga orang sanggup menggunakannya, membayarnya atau kembali semula. Banyak MVP perisian mengambil masa kira-kira dua hingga empat bulan untuk dibina, bergantung pada skop.

Apa itu MVP, dan apa yang bukan MVP

  • MVP ialah alat untuk belajar: adakah kumpulan pengguna ini benar-benar mahukan produk ini, sehingga sanggup mengubah cara mereka bekerja?
  • MVP ialah produk yang boleh digunakan oleh orang sebenar. Slaid pembentangan atau mock-up ialah prototaip, bukan MVP.
  • MVP bukan versi pertama bagi semua yang anda rancang untuk dibina.
  • MVP bukan alasan untuk kualiti yang rendah. Satu aliran teras itu mesti berfungsi dengan baik.

Jenis-jenis MVP

  1. Ujian landing page

    Terangkan produk pada satu halaman, bawa sedikit trafik melalui iklan atau media sosial, dan ukur berapa ramai yang mendaftar atau membuat pra-tempahan.

  2. MVP concierge

    Jalankan perkhidmatan secara manual untuk beberapa pelanggan sebelum mengautomasikan apa-apa.

  3. MVP "Wizard of Oz"

    Bahagian depan kelihatan automatik, tetapi sebenarnya manusia yang melakukan kerja di belakang tabir.

  4. Produk satu ciri

    Bina ciri teras sahaja, dengan betul, dan tinggalkan yang lain.

  5. MVP no-code

    Gabungkan alat no-code untuk melancarkan dengan cepat. Lihat no-code vs custom (dalam Bahasa Inggeris).

Cara menentukan ciri yang perlu ada

  • Pilih satu jenis pengguna dan satu masalah.
  • Petakan satu laluan yang dilalui pengguna itu, dari mula sehingga "masalah selesai".
  • Semua yang berada pada laluan itu masuk. Yang lain, seperti tetapan, peranan tambahan dan laporan yang "bagus kalau ada", boleh tunggu.
  • Jika masih tidak pasti, tanya: ciri mana yang akan membuat pelanggan membayar, atau kembali minggu depan?

Langkah membina MVP

  1. Tulis hipotesis

    Contohnya: "Pemilik klinik di Lembah Klang sanggup membayar RM X sebulan untuk mengurangkan pesakit yang tidak hadir temu janji, melalui peringatan WhatsApp automatik."

  2. Reka aliran teras

    Mula dengan wireframe (lakaran skrin), kemudian prototaip yang boleh diklik untuk ditunjukkan kepada pelanggan.

  3. Bina

    Bangunkan aliran teras, berserta panel admin asas dan analitik supaya anda boleh melihat apa yang pengguna lakukan.

  4. Lancar secara kecil

    Keluarkan kepada 10–50 pengguna sebenar dan sokong mereka dengan rapat.

  5. Ukur dan buat keputusan

    Lihat kadar pengaktifan, pengekalan pengguna dan kesanggupan membayar. Kemudian tambah baik, tukar arah, atau hentikan.

Perkara khusus Malaysia yang perlu dirancang

  • Pembayaran: pelanggan Malaysia biasanya menjangkakan FPX (perbankan dalam talian), kad, e-dompet dan DuitNow QR. Pilih gerbang pembayaran (payment gateway) yang menyokong kaedah yang pengguna anda guna.
  • Data peribadi: jika anda mengumpul data peribadi, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) terpakai. Rancang persetujuan pengguna, keselamatan dan lokasi penyimpanan data. Lihat PDPA untuk aplikasi (dalam Bahasa Inggeris).
  • e-Invois: semak sama ada keperluan e-Invois LHDN (MyInvois) terpakai kepada perniagaan anda apabila ia berkembang. Lihat MyInvois untuk aplikasi (dalam Bahasa Inggeris).
  • Bahasa: tentukan awal sama ada anda perlukan Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina atau ketiga-tiganya.

Selepas MVP: apa seterusnya

MVP yang berjaya bukan bermaksud semua orang suka. Ia bermaksud anda belajar sesuatu yang jelas: kumpulan pengguna mana yang paling aktif, ciri mana yang digunakan, dan berapa mereka sanggup bayar. Gunakan pelajaran itu untuk menentukan versi seterusnya, dan untuk bercerita kepada pelabur dengan angka sebenar. Sebelum melancarkan kepada umum, semak senarai semak pelancaran aplikasi (dalam Bahasa Inggeris).

Soalan lazim

Berapa kos buat MVP di Malaysia?

Bergantung pada ciri, platform dan siapa yang membinanya. Panduan kos membina aplikasi di Malaysia memberi julat anggaran mengikut jenis aplikasi, berdasarkan jam kerja didarab kadar pasaran Malaysia.

Apa beza prototaip dan MVP?

Prototaip menunjukkan bagaimana produk akan berfungsi; biasanya boleh diklik tetapi tidak benar-benar berfungsi. MVP ialah produk yang berfungsi dan digunakan oleh pengguna sebenar, jadi anda belajar daripada tingkah laku sebenar, bukan pendapat.

MVP saya patut aplikasi mudah alih atau aplikasi web?

Aplikasi web selalunya lebih cepat dan murah untuk dibina dan diubah, dan ia boleh digunakan di telefon. Pilih aplikasi mudah alih jika pengalaman teras bergantung pada telefon, seperti GPS, kamera, penggunaan luar talian atau notifikasi yang kerap.

Berapa lama masa untuk bina MVP?

Banyak MVP perisian mengambil masa kira-kira dua hingga empat bulan. Produk yang skopnya sangat fokus boleh siap lebih cepat; marketplace, produk yang banyak melibatkan pembayaran dan apa sahaja yang ada beberapa jenis pengguna biasanya lebih lama.